Islam itu Dagang, dan akan kembali Dagang

“Sirah perjalanan hidup dan perjalanan Baginda saw perlu sentiasa diteliti dan diteladani. Kronologi perjalanannya yang berpandukan wahyu Ilahi menjadikan Islam satu-satunya agama yang sesuai dan padan untuk dipraktikkan dalam setiap masa, zaman dan keadaan. Dalam kebobrokan masyarakat arab jahiliyyah dan keruntuhan akhlak yang maha dahsyat, lahirnya utusan yang digelar al Amin, yang bakal merubah segalanya, dialah baginda saw yang dicintai. Perjuangan Baginda SAW diawalnya amat perit dan pedih, seribu satu mehnah dan tribulasi terpaksa diharungi oleh baginda saw bersama sahabat-sahabat r.a demi mengeluarkan masyarakat daripada kegelapan kepada cahaya kebenaran. Pembawakan Islam pada ketika itu jauh berbeza dengan kehidupan sosial penduduk apatah lagi pembesar-membesar mereka. Tentangan demi tentangan dilontarkan dek kerana kepelikan ajaran Baginda saw pada waktu itu

Permulaan Islam itu adalah dagang dan asing, bahkan ia akan kembali asing. Baginda saw bersabda :

بداء الإسلام غريبا فسيعود غريبا كما بداء فطوبى للغرباء

Maksudnya : Islam mula tersebar dalam keadaan dagang ( asing) , dan ia akan kembali asing pula. Maka beruntunglah orang-orang yang asing. ( H.R. Muslim

Islam itu dagang….

Imam ibnu Majah dalam sohehnya mentakrifkan `Algharib` iaitu asing dengan maksud alba`id an wathon iaitu jauh daripada negeri. Dapat difahami disini adalah islam pada waktu itu seakan-akan satu ajaran dan budaya baru yang cuba dibawa masuk oleh baginda saw kebumi arab yang mana ajarannya tidak ada yang sama dengan budaya dan adat yang sedia ada malahan bercanggah terus dengan kehidupan penduduk arab pada ketika itu, walhal ianya adalah cara hidup yang seafdhalnya. Lumrahnya pastilah dimana –mana tempat sekalipun agak sukar untuk menerima perkara baru dalam hidup walau kebenaran sekalipun apatah lagi jika ianya dibawa oleh orang yang tak dikenali dan akan menggugat kedudukan mereka yang berpangkat.Hasilnya sepertimana telah dijelaskan pada awal mukaddimah di atas, Baginda saw mendapat tentangan yang hebat terutama dari golongan pembesar Quraisy yang mempelopor takhta pada zaman tersebut, dakwah hanya Berjaya dikalangan orang bawahan sahaja.

Namun, keyakinan baginda dan sahabat r.a terhadap janji Allah ta`ala mengatasi segalanya. Buktinya, Islam Berjaya menguasai dua pertiga dunia. Kepayahan dan keperitan dilalui baginda saw membuahkan hasil yang sangat lumayan. Islam adalah agama yang tinggi dan tiada yang lebih tinggi darinya. Firman Allah : “ Sesungguhnya Agama disisku adalah agama Islam “-Ali Imran 13 – . Kesyumulan dan keadilan Islam menjadikan ia realistik dan praktik untuk seluruh umat .Dari zaman baginda saw diikuti zaman khulafa` rashidin, umawiyyah, abbasiyyah dan uthmaniyyah, kesemua zaman ini Berjaya menidakkan dakyah–dakyah kristian dan yahudi. Ulama-ulama`islam bertebaran keseluruh dunia menyebarkan ajaran yang suci ini.

Islam kembali Dagang……

Kata ulama`, Hidup ini umpama roda, terkadang di atas dan terkadang dibawah. Islam turut tidak terlepas dari sunnah ini. Di akhir pemerintahan khalifah Uthmaniyyah,( 1003 – 1342h ) Islam mula goyah.strategi musuh Berjaya merampas takhta, bahkan kekalahan ini berpunca daripada pemerintah sendiri yang lemas dengan harta kekayaan yang melimpah ruah, memberi peluang untuk musuh mula mencucuk jarum.Islam kembali asing……musuh tertawa sinis…..

Islam kini kembali seperti asalnya, seolah-olah agama ini tidak pernah wujud dimuka bumi ini,Islam sudah tentu dicemuh dan asing dimata musuh-musuhnya, bahkan lebih dari itu, Islam dianggap asing dikalangan orang Islam itu sendiri! Apa sudah terjadi ? Begitulah realitinya. Sebahagian daripada orang islam merasa ganjil dan pelik apabila melihat orang Islam yang iltizam ( komitmen ) dengan Islam dan cuba mengamalkan tuntutan Islam yang sebenar. Seorang yang komitmen dengan Islam dipandang sepi oleh masyarakat dan terlalu susah untuk diterima sebagai individu yang sihat, sebagai contoh kalau ada sesuatu program kemasyarakatan kemudian masuk waktu solat, tiba-tiba ada seorang yang meminta diri untuk menunaikan solat, maka tindakan itu dianggap tidak sopan dan kurang wajar. Sedangkan orang yang tidak solat sambil bersenda-senda ketika orang lain bersolat tidak dianggap sebagai perbuatan yang salah dan terkutuk, tetapi marah apabila dikatakan bukan islam.

Malahan lebih teruk lagi Perundangan Islam tidak dijadikan asas bagi sesebuah negara. Mereka lebih berbangga dengan Undang-undang barat dijadikan sebagai panduan hidup dan pedoman. Baru –baru ini Ketua Hakim Negara Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim dalam akhbar utusan bertarikh 21 Ogos 07 mencadangkan agar rujukan kepada Common Law Inggeris yang sekian lama digunapakai di Malaysia dimansuhkan kerana menggambarkan minda pengamal undang-undang tempatan masih terjajah. Seolah-olahnya itulah undnag-undang terbaik didunia menggambarkan betapa sempitnya dan dijajahnya pemikiran kita. Umat Islam menurut sahaja kehendak amerika! Istilah Islam Amerika yang diperkenalkan oleh Syed Qutb membenarkan lagi firman Allah : “Orang –orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepada kamu hingga kamu mengikuti agama mereka.” -Albaqarah – . Apabila Amerika mengiktiraf Islam , pastilah kita dibawah telunjuk mereka!

Dunia terus memulau Islam.Penindasan terus bermaharajalela. Umat Islam terlalu kerdil walhal jumlah mereka ¼ penduduk bumi.Isu Palestin tidak pernah selesai. Persidangan demi persidangan dibuat, namun natijahnya …… . Penindasan terus berlaku, Israel semakin mengganas, Amerika pula memberikan sokongan padunya pada Israel. Utusan Malaysia 16 Ogos, Amerika menawarkan pakej bantuan ketenteraan pada Israel sejumlah RM102Bilion, satu angka yang cukup besar untuk kelengkapan moden tenteranya sedangkan rakyat Palestin hanya bersenjatakan batu. Ibarat gajah bertempur dengan semut. Pertempuran yang berat sebelah.

Beruntunglah mereka yang dagang……
Firman Allah : ( طوبى لهم و حسن مآب ) Ar Ra`d-29

“ Orang yang beriman dan beramal soleh bagi mereka kebahagiaan dan tempat kembali yang baik “
Para ulama` mensyarahkan ( طوبى ) dengan pelbagai tafsiran, diantaranya dengan makna kehidupan yang baik, kebaikan yang berterusan, syurga dan lain-lain lagi( tafsir Thobari, asas tafsir – Said Hawa) Setiap amal pasti ada ganjarannya. Janji inilah yang membuatkan pendokong –pendokong Islam terus bersemangat waja untuk mempertahankan Islam. Walau kini Islam kembali asing pada pandangan manusia, tetapi tidak disisi Allah pencipta yang maha mulia! Pada ketika inilah akan munculnya golongan yang digelar sebagai AlGhuraba` sepertimana yang disebutkan pada hadis di atas. Imam Ibnu Qaiyyim dalm menta`lik surah hud ayat 116 yang bermaksud

mengapa tidak ada dari umat yang sebelum kamu orang yang mempunyai keutamaan yang melarang daripada mengerjakan kerosakan dimuka bumi,kecuali sebahagian kecil diantara orang yang telah kami selamatkan diantara mereka”

Golongan yang dimaksudkan dalam ayat diatas adalah AlGhuraba` yang dimaksudkan didalam hadis , iaitu mereka yang akan mengislah kefasadan umat . Doktor Yusof Qardhawi menyifatkan Ghuraba` ini adalah Ahli Allah semata-mata, tidak berpihak pada mana-mana puak atau kepentingan,tidak terikut dengan fahaman –fahaman yang ada, semuanya berpaksi di atas jalan Quran dan sunnah untuk menegakkan kebenaran . Firman Allah : “ Dan jika kamu menuruti kebanyakan orang dimuka bumi ini, nescaya mereka akan menyesatkan kamu dari jalan Allah ” – Al An`am:116

Untuk menjadi Ghuraba` seperti yang dimaksudkan bukanlah satu tugas yang mudah, ia memerlukan pada menjiwai sirah dan perjuangan baginda beserta kefahaman yang mendalam terhadap Quran dan sunnah . Kesatuan umat perlu diutamakan. Perpecahan yang berlaku perlu dikoreksi dari masa kesemasa untuk mencari titik persamaan dan menghindar permusuhan. Mempertahankan Islam di akhir zaman ini diibaratkan oleh baginda saw umpama menggenggam bara api. Kalau tidak bersungguh-sungguh nescaya agama akan terlepas dari genggamannya kerana suasana sekelilingnya yang tidak membantu pada kebaikan.

Justeru, untuk mencapai Alqhuraba` yang dicitakan Islam mendambakan himmah kecintaan dan sensitiviti yang tinggi pada Islam, Dikala Islam dibawah kitalah yang menaikkannya, tatkala Islam di atas kitalah yang mendokongnya dan gugurnya kita adalah kerana membela Islam ! Sebagai penutup renungkan firman Allah ta`ala ini : “ Hai orang-orang yang beriman,barangsiapa diantara kamu yang murtad dari agamanya,maka kelak Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Allah mencintai mereka dan merekapun mencintai Nya, yang bersikap lemah lembut terhadap orang mukmin ,yang bersikap keras terhadap orang-orang kafir yang berjihad dijalan Allah dan yang tidak takut celaan orang yang suka mencela “
Wallahu a`lam

4.00am – 25/8/07

Rujukan

  1. Terjemahan Al Quran Indonesia
  2. Mu`jam Mufahris Al Quran
  3. Fathul Mun`im
  4. ( AlWajiz ) Tarikh Islami ; Doktor Mohd Suhail
  5. 40 Hadis Peristiwa Akhir zaman : Ustaz Fahmi zamzam
  6. Syarah Hadis 40 Imam Nawawi
  7. Fatawa Mu`asarah Yusof Qardhawi
  8. Soheh Ibnu Hibban
  9. Tafsir Thobari
  10. Al Asas fi Tafsir : Sa`id Hawa
  11. Kamus Marbawi

About this entry